Friday, May 21, 2010

~BENARKAH ORANG BUNIAN ITU WUJUD?~





Dipetik daripada buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan’ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.



Soalan:
Adakah orang bunian ini wujud? Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia kerana disebut sebagai orang atau adakah mereka termasuk dalam golongan makhluk halus?



Jawapan:
Makhluk halus yang dikenali sebagai jin, syaitan, iblis, Ifrit dan sebagainya telah jelas terpapar dalam al-Quran dan hadis sahih yang boleh dirujuk dalam jawapan terdahulu.


Dalam surah al-Ahqaf ayat 29, Allah SWT berfirman:
Maksudnya:
Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin dating kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka mengahadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain), ‘diamlah kamu dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada bacaannya!’ kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyebarkan ajaran al-Quran itu dengan )memberi peringatan dan amaran.


Mengenai istilah orang bunian ataupun bunian, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah memfilemkan perihal masyarakat bunian.



Pendapat saya, makhluk ini memang wujud dan tergolong dalam kategori makhluk halus. Makhluk ini dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan seperti manusia. Mereka turut berumah tangga, beranak pinak dan hidup bermasyarakat.



Ada yang mendakwa pernah melihat dan mendakwa manusia mampu berkomunikasi dengan orang bunian sehingga boleh hidp berjiran termasuk meminjam barang-barang keperluan harian. Kesahihan cerita itu saya pulangkan kepada Allah SWT yang lebih Mengetahui.
Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadis Nabi SAW menyebut bahawa terdapat makhluk halus yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dengan perkampungan manusia. Golongan bunian ini disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ‘Amir atau ‘Umar yang tinggal berhampiran dengan manusia.



Dalam suatu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah didapati hilang secara tiba-tiba. Keluarganya bertemu dengan Nabi SAW menceritakan perihal kehilangan Khurafah.



Tidak berapa lama selepas itu, Khurafah muncul semula dan menceritakan mengenai pengalamannya membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedarkan diri. Apabila tersedar, dia mendapati dirinya berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.



Dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu dan mereka menuntut supaya dia dibalas bunuh. Dia dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai system keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguam bela dan sebagainya.



Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata, “Khurafah tidak dipersalahkan kerana dia membunuh salah seorang anggota daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukanlah berniat membunuh orang kita, tetapi mambunh musuh di alamnya.” Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.
Apabila berita ini disampaikan kepada Nabi SAW, ramai mempertikaikannya. Nabi SAW berkata:



Maksudnya: “Khurafah (bercakap) benar.”



Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk dalam cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Asal istilah khurafat itu adalah cerita benar daripada individu yang bernama Khurafah.



Saya menyebutkan kisah ini kerana saya melihat perkara yang berlaku ini mungkin boleh disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya, mereka boleh melakukan sama seperti dalam kisah Khurafah tersebut.



Masyarakat bunian adalah satu kelompok masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh perihal orang bunian, perkara ini menjadi suatu lagenda masyarakat Melayu. Sehingga kini masyarakat bunian dikaitkan dengan masyarakat beragama yang melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti mendirikan masjid, surau, melaungkan azan, mangaji al-Quan dan sebagainya. Masyarakat Melayu mengaitkan masyarakat bunian dengan jin Islam.




Islam mengakui kewujudan jin Islam. Hal ini disebutkan dalam surah al-Jin.surah tersebut menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk jalan yang lurus dan mereka telah beriman. Jin juga mengaku daripada kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang kafir. Oleh itu, memang ada kemungkinan masyarakat bunian ini seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.



Dalam masyarakat manusia contohnya, ada yang tidak Islam. Hatta dalam masyarakat awal Islam pada zaman Rasulullah SAW di Madinah, itu pun wujud golongan munafik daripada kalangan orang Islam. Seperti dalam masyarakat kita pada hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam fasik, Islam munafik dan sebagainya.
Kesimpulannya, tidak mustahil masyarakat bunian sama seperti masyarakat manusia.



Wallahu a’lam…

~APA YANG TELAH TERJADI KEPADAKU…?~

Astaghfirullahazim…

Wahai diri,
Tidakkah kau percaya pada ayat-ayat Allah bahawa,
‘laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik dan sebaliknya..?’
Tidakkah kau yakin pada ayat Allah,
‘telah Aku ciptakan manusia berpasang-pasangan...?’
Jika jawapanmu YA, mengapa kau masih bertindak-tanduk seperti kau tidak percayakannya?
Jika jawapanmu BENAR, mengapa kau masih berkata-kata seperti kau tidak serahkan
segala-galanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana?

Percayalah…
Kata-kata Allah itu pasti,
Kata-kata syaitan itu dusta,
Janganlah engkau mengharap pada yang tidak pasti,
Janganlah engkau membenarkan apa yang kau lakukan walaupun pada hakikatnya dan hukumnya berDOSA di sisi Allah,

Kau tahu itu,…
Kau arif tentang itu,…
Mengapa kau masih lakukannya…?
Jangan kau salahkan diriku,
Jangan kau benarkan dirimu,
Jangan kau menuding jari pada semua pihak dan kau melarikan diri dari kesalahan yang kau cipta sendiri,
Jangan kau menyalahkan musuhku semata-mata,
Kau yang melayannya dulu dan mengikut semua kehendaknya,
Dan akhirnya dia semakin berjinak-jinak denganku dan dirimu jua,…
Adakah kau ingat sejarah itu?
Sejarah di mana pada suatu ketika,
Dikala kau merasa sunyi dan semakin jauh dengan penciptamu,
Kau yang pada dahulunya tidak langsung melayan musuhku,
Sedikit demi sedikit kau meluangkan masa melayannya,
Adakah kau fikir itu sahaja penyelesaian yang ada?
Mengapa kau tidak hanya kembali kepada penciptamu sahaja?

Bertaubatlah…
Kembalilah kepada pencipta yang menciptamu…
Yang tahu segala asal-usulmu…
Bertaubatlah selagi masa masih ada…
Kerana kita tidak tahu bila kita akan dikembalikan…
Kepada ALLAH…
Mungkin sesaat lagi…
Astaghfirullahazim…


Luahan rasa dari sahabatmu,

Akal yang suci...

Monday, May 10, 2010

~APA PERASAAN ANDA KETIKA POTONG KERETA PEMANDU LAIN?~


‘huih, lem**b betul!!!’

‘hahaha, puas hati aku!’

‘hm…laju jugak aku bawak kereta…’

‘apalah lambat sangat bawak kereta orang depan ni, dah la kereta b***k!’

‘wah…aku yang hebat!’

Adakah kata-kata tersebut SERING atau PERNAH terkeluar daripada mulut anda ketika memotong kereta pemandu lain di jalanraya?

Tidakkah anda sepatutnya berkata:

‘kenapa orang depan ni tak berapa laju? Dia tengah makan angin kot…takpe la, biarlah dia nak manikmati keindahan alam ciptaan Allah bersama keluarganya…’

‘hm…alhamdulillah, dapat jugak aku potong kereta ni. Mudah-mudahan pemandu ni tak terasa hati bila aku potong kereta dia…’

‘Ya Allah, selamatkanlah aku ketika memotong kereta ni…jika Kau takdirkan aku mati, janganlah kau matikan aku dalam situasi seperti ini. Amalku masih belum mencukupi untuk aku bawa bekalan untuk bertemuMu sekarang, ya Allah…’

‘astaghfirullahalazim…ada lagi orang yang lebih susah daripada aku. Kesian kereta orang depan ni. Alhamdulillah, Kau kurniakan aku rezeki yang halal dan mencukupi untuk aku beli kereta yang selesa untuk kami sekeluarga…’

‘ya Allah, jauhi lah aku daripada sifat riak dan bangga diri. Sehebat-hebat aku memotong kereta, Engkau lah Yang Maha Hebat ya Allah…janganlah Engkau biarkan hatiku memuji kehebatan diriku lebih daripada memujiMu, ya Allah…’

Muhasabah lah diri kembali agar kita terhindar dari penyakit hati dan lidah…tanpa kita sedari, mungkin ada kata-kata seharian kita yang telah menambah titik hitam dalam hati kita…

???? tepuk dada, tanya iman….

Friday, May 7, 2010

~MENGAPA PROFESSION ‘DOKTOR’ DIGILAI RAMAI?~

Kata-kata di wall facebook sahabatku, Amali telah menarik hatiku untuk membacanya. ‘mengapa ramai orang nak jadi doktor?’. Aku rasakan satu kolum dalam Majalah ANIQAH yang bertajuk ‘Beri Manfaat Kepada Orang Lain’ mungkin jawapan kepada pertanyaan Amali itu.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nabi Muhammad SAW, “Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain.”

Ada segelintir ahli masyarakat yang menggeruni profession doktor ini. Ramai yang mempunyai alasan tersendiri untuk memilih profession ini sebagai profession yang diminati. ‘Tak larat nak bawak la, berat sangat…’ ‘ aku bukan darah daging doktor’, ‘siapa la nak biaya pembelajaran aku kalau aku ambik course tu…’ ‘aku tak boleh la nak tengok darah…’. Itulah alasan yang sering didengari dari telinga ramai student yang menggeruni profession ini.

Bagi yang meminati profession ini, ‘bila aku berjaya jadi doktor, aku nak tolong orang…’ ‘ayah aku doktor, aku pun nak jadi doktor gak la…’ ‘jadi doktor boleh jadik kaya. Aku nak bantu orang yang tak mampu…’ ‘jadi doktor ni nampak macam best je, nampak cam orang banyak ilmu..’ Namun, apa pun alasan mereka, semuanya berkitar dengan ‘kejayaan’ dan ‘kekayaan’.

Muslim yang baik adalah seseorang yang memiliki kejayaan dan kekayaan dan dia turut berkongsi kejayaan dan kekayaan itu dengan orang lain. Sesungguhnya, amatlah beruntung bagi muslim yang berbakti kepada orang lain dengan kejayaan dan kekayaan kepunyaannya dengan titik peluh sendiri serta dari sumber yang halal kerana mereka tidak perlu risau untuk memikirkan apa yang perlu dijawab di hadapan Allah kelak, dari mana dan ke mana harta dan ilmu kepunyaannya disalurkan. Ilmu dan harta yang dipunyai itulah yang akan menjawab segala bentuk soalan daripada Allah…

Alangkah bahagianya muslim itu... Alangkah ruginya jika peluang itu tidak dilakukan sewajarnya…


Diriwayatkan oleh Bukhari, Tirmidzi dan Nasa’I bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang sebelum dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.”

Untuk memberi manfaat kepada orang lain, tidak semestinya kita perlu bijak pandai,
mempunyai ilmu yang menggunung dan mempunyai harta yang menimbun. Setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing dan dapat wujudkan suasana di mana kehadiran kita akan member manfaat dan bukannya mudarat kepada orang sekeliling kita. Kehidupan kita dipenuhi dengan aktiviti dan kegiatan sepanjang perjalan hidup di dunia yang fana ini. Kitalah yang perlu mencorakkannya supaya dapat mendatangkan manfaat untuk diri dan orang lain.
Namun, sehingga kini, pernahkah anda terfikir, adakah kehadiran diri anda memberi manfaat kepada orang lain ataupun menyusahkan orang lain?


Cuba kita senaraikan perbuatan-perbuatan kita yang telah memberi manfaat kepada orang lain dan telah menyusahkan orang lain. Manakah yang lebih banyak? Adakah kita telah memenuhi hadis di atas? Jawapannya ada dalam diri masing-masing…=)