Sunday, June 13, 2010

~BOLEHKAH ORANG YANG TELAH MATI MENJELMA SEMULA BERTEMU DENGAN AHLI KELUARGANYA?~

Dipetik daripada buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan’ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

Soalan:
Baru-baru ini telah berlaku satu kejadian yang menggemparkan di tempat saya iaitu seorang yang telah meninggal dunia dan dikebumikan hidup semula. Setelah beberapa hari kematiannya ada orang menemui si mati dan bercakap dengannya. Hal ini turut diakui oleh keluarga si mati. Adakah hal seperti itu boleh berlaku, adakah roh si mati itu menemui ahli keluarga mereka?
(Nuraina Muhammad, Senggarang, Johor)


Jawapan:
Saya pernah menjelaskan tentang roh orang yang telah mati akan berada di alam barzakh ssehingga dibangunkan semula pada hari akhirat semasa menjawab persoalan yang sama di dalam akhbar Harakah. Orang yang telah meninggal dunia tidak mungkin kembali ke dunia.

Pada saya, kejadian yang berlaku ini tidak boleh dipandang ringan kerana dikhuatiri boleh membawa kepada kerosakan aqidah kerana orang yang telah kembali kea lam barzakh boleh kembali ke dunia, menziarahi keluarga dan boleh berbual-bual semula dengan orang yang mengenalinya.

Kebarangkalian perkara ini berlaku memang ada tetapi ianya tidak mungkin berlaku di alam realiti kerana “orang” yang mereka temui itu sebenarnya orang yang telah mati, tetapi sejenis makhluk halus yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai qarin.

Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 25:
Maksudnya: “Dan kami tetapkan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia) lalu teman itu memperhiakan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara duniayang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang berada di belakng mereka, dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat-umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).”

Ayat ini merujuk kepada kewujudan makhluk halus yang dipanggil qarin atau qurana’ (jin yang menjadi sahabat baik kepada manusia).

Dalam surah al-Nisa ayat 38:

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil syaitan itu menjadii temannya, maka syaitan itu adalah seburuk-buruk teman.”

Apabila manusia dibangkitkan pada hari kiamat, dan mendapati dirinya termasuk dalam golongan yang derhaka terhadap Allah SWT, mereka akan menyalahkan antara satu sama lain, terutama kepada qarinnya (syaitan yang menjadi kawan mereka).

Hal ini disebut dalam surah Qaf ayat 27:

Maksudnya: “…Syaitan yang sentiasa menyertai (di dunia dahulu) berkata: ‘ Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri yang berada dalam kesesatan yang jauh terpesong’”.

Ayat-ayat lain yang berkaitan dengan qarin ialah seperti dalm surah al-Saffat ayat 51, surah al-Zukhruf ayat 38, surah Qaf ayat 23 dan ayat-ayat lain.

Istilah qarin berbeza dengan Ifrit, jin, syaitan dan sebagainya kerana qarin ini dirujuk sebagai mahkluk halus yang berdampingan dengan manusia sehingga menjadi kawan rapat yang boleh memberikan bantuan.

Allah SWT turut memberi penjelasan bahawa ada manusia yang menjadikan jin sebagai pelindung mereka seperti yang disebut dalam surah al-Jin ayat 6:

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia meminta perlindungan kepada bebarapa ketua golongan jin, kerana jin-jin itu menambahkan mereka dan kesalahan.”

Ayat ini merujuk kepada persahabatan yang begitu rapat antara manusia dengan jin sehingga menganggap jin mempunyai kuasa dan berkebolehan untuk melindungi manusia, lalu mereka berlindung dengan jin dan tidak meminta perlindungan daripada Allah SWT.

Inilah qarin. Walaupun manusia telah mati, jin ini masih boleh menyerupai mereka untuk menyesatkan manusia dan mencederakan aqidah manusia.

Wallahu a’lam…

No comments:

Post a Comment